Friday, July 30, 2010

SARAWAK-Melancong Sambil Belajar

Bahagian 2

Sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kami menaiki bus pelancong dan melawat bandar Kucing. Kami tertarik dengan suasana nostalgia di bandarnya dan dapat melihat Tugu Kucing, masjid lama Kuching dan pasar jalanan. Kami juga melawat Muzium Kuching yang kaya dengan khazanah borneo yang terunggul di Asia Tenggara. Selepas makan tengahari, kami melawat kilang tembikar dan melihat bagaimana tembikar Sarawak dibuat. Saya beli dua tembikar kecil untuk ibu saya. Kami bermalam di Merdeka Palace Hotel.

Keesokan hari, selepas sarapan pagi, kami melawat Sekolah Tunku Putra. Kami disambut dengan mesra oleh murid-murid dan guru-guru di sana. Sekolahnya merangkumi prasekolah, rendah dan menengah. Murid-muridnya belajar dalam bahasa Melayu dan Inggeris, bahasa ke tiga adalah Mandarin atau French. Kami bergaul dan bertukar hadiah sebelum beredar. Kemudian, kami singgah ke Kebun Lada Hitam. Untuk mendapatkan lada hitam, biji lada terus dijemur bawah matahari, dan lada sula pula direndam dahulu dalam air kemudian baru dijemur. Sarawak salah satu penghasil lada hitam dan sula terbesar di Asia. Kami bermalam di Kampung Budaya Sarawak yang mempamirkan tujuh macam rumah replika dari budaya kaum-kaum asli Sarawak. Sambil menikmati makanan mereka, kami menonton nyanyian dan tarian orang asli.

Kami bangun sebelum Subuh untuk melawat Taman Negara Bako. Kami meneroka hutan belantara. Sekali-kala kami nampak monyet, air terjun dan pohon-pohon pelik. Kami juga menyeberang jambatan tali. Sungguh sukar berjalan atasnya kerana terhayun-hayun. Akhirnya, kami sampai di pantai dan pemandangannya sungguh luas dan nyaman. Kami akhir perjalanan kami dengan menaiki ‘speedboat’ hingga ke senja.

Pada hari terakhir, kami melawat Pusat Pemulihan Semmengoh untuk Orang Utan. Kemudian, kami singgah ke Rumah Panjang Bidayuh yang terletak di daerah perkampungan. Penduduknya sungguh mesra. Kami terus ke Kampung Nelayan Melayu. Kami melihat kehidupan orang Melayu, main permainan tradisional dan makan kueh mueh Melayu. Seronoknya! Kenangan manis di Sarawak adalah kemesraan orang-orangnya.

SARAWAK-Melancong Sambil Belajar

Bahagian 1

Saya masih teringat lawatan ke Sarawak bersama sekumpulan rakan-rakan dan guru-guru Sekolah Rendah Fuhua. Kami telah dipilih untuk melancong ke Sarawak dan mempelajari kehidupan dan budaya orang-orang Sarawak yang berbilang kaum. Lawatan empat hari itu sungguh penuh dengan aktiviti hingga kami tidak sempat merindui keluarga kami.

Kami berkumpul di Lapangan Terbang Changi selepas Subuh. Saya rasa gementar bercampur kegirangan kerana ini adalah pertama kali melancong tanpa keluarga saya. Gilarrr!


Persediaan untuk lisan PSLE

Semalam adalah ujian lisan Prelim sebelum saya menduduki peperiksaan PSLE. Hari ini guru-guru kami mengulang-kaji teknik-teknik lisan untuk mendapat markah penuh. Kami diberi sekeping gambar untuk perbincangan. Saya sangat gementar untuk ujian PSLE. Namun guru saya memberi banyak latihan dan dorongan untuk lebih bersedia menghadapi peperiksaan yang sangat penting untuk diriku.

Semoga saya dan rakan-rakan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti...

Pantun Bahasa Ibundaku

Satu dua nyanyi bersama
Tiga empat selama-lamanya
Lima enam bahasa melayu
Tujuh lapan tak akan layu
Sembilan sepuluh BAHASA IBUNDAKU!

Filem Melayu kegemaran saya "Bujang Lapok"

Bahasa 'Mesra Alam'

Bahasa Melayu yang digunakan dalam filem zaman dahulu sangat indah dan banyak bertemakan sekitaran alam. Sejak dahulu lagi orang Melayu sudah mengamalkan sikap mesra alam. Pertuturan bahasanya bersopan santun. Bahasanya tidak dicemari oleh perkataan-perkataan yang kesat dan lagu-lagu zaman dahulu banyak berkisahkan tentang sekitaran alam seperti bunga dan kumbang. Bolehlah dikatakan Bahasa Melayu adalah Bahasa 'Mesra Alam'.

Wednesday, July 28, 2010

Sejarah Melayu (Tasek Dayang Bunting)

Kisah bermula beberapa ratus tahun dahulu di suatu tempat yang dipanggil Pasir Telok Ayer Tahun. 

Cerita mengisahkan seorang jin perempuan yang jelita bernama Mambang Sari. Beliau ditugaskan menjaga pulau-pulau dari di takluki manusia. Beliau melindungi pulau-pulau itu dengan pertolongan seekor singa kesayangannya dan racun dari pokok tuba. Pada tiap-tiap hari Mambang Sari dengan dayang-dayangnya pergi bermain-main di Pasir Telok Ayer Tahun.  Pada satu hari semasa mereka bersuka-sukaan di pantai pasir di Pulau itu, seorang jin bernama Mat Teja melihat mereka, dan Mat Teja jatuh kasih kepada Mambang Sari. Tetapi Mambang Sari tidak tahu langsung bahawa Mat Teja kasih kepadanya.

Selepas bermain-main di Pasir Telok Ayer Tahun, Mambang Sari dan dayang-dayangnya pergi mandi di Telok Lawak.  Tiap-tiap kalinya Mat Teja mengikut dari jauh kerana tidak berani mengatakan kasihnya kepada Mambang Sari.  Pergi ke Telok Ayer Tahun, Mat Teja kena lalui di suatu tempat yang dipanggil Diang. Maka, di tempat ini tinggal seorang tua bernama "Tuk Diang". 

Pada suatu hari apabila ia lalu, Tuk Diang bertanya kepada Mat Teja ke mana ia hendak pergi. Jawab Mat Teja, ia hendak pergi mengikut Mambang Sari kerana ia telah jatuh kasih kepadanya, tetapi ia tidak berani pergi hampir. Tuk Diang beri petua kepadanya, ambil sebatang tabung buluh, pergi berjalan di pantai laut waktu air surut, kemudian tadah air mata duyung dengan tabung buluh itu di suatu tempat yang dipanggil Telok Kahar. Apabila dapat air mata duyung itu, basuh muka dengannya apabila ia lihat Mambang Sari. 

Mat Teja turut seperti yang mana dipetuakan oleh Tuk Diang dan satu pun tidak ketinggalan. Ia pun berjalan di pantai laut dan sampailah di Telok Kahar waktu air surut. Maka dilihatnya seekor duyung duduk diatas batu dan air matanya jatuh meleleh di mukanya kerana air pasang telah meninggalkannya dan dia tidak dapat balik ke laut.

Apabila Mat Teja melihat duyung itu duduk terbeting di batu, ia pun tidak lengah lagi membuka tali pinggangnya di mana tergantung tabung buluh yang tersebut dan menadah air mata duyung itu.  Apabila sudah dapat, ia pun dengan segera balik ke Telok Lawak. Maka di sini ia dapati Mambang Sari sedang bersuka-sukaan. Mat Teja dengan tidak membuang masa menyapukan leher dan mukanya dengan air mata duyung itu. Apabila Mambang Sari melihat wajah Mat Teja ia pun jatuh kasih kepadanya.

Pada hari-hari kemudian yang berikut mereka duduk berkasih-kasihan, tetapi tidak duduk sama setempat. Ada kalanya mereka berjumpa di darat dan ada kalanya di laut. Tidak berapa lama daripada itu Mambang Sari pun bunting dan balik ke suatu tempat yang dipanggil Dayang Beranak untuk melahirkan anaknya. Tujuh hari lepas bersalin anaknya meninggal dunia. Mambang Sari campakkan anaknya ke dalam sebuah tasik dan tasik itu pada masa ini dipanggil dengan nama TASEK DAYANG BUNTING.

Tasek Dayang Bunting terletak di Pulau Dayang Bunting merupakan pulau yang terbesar selepas Langkawi di Kedah. Ia terletak 17.6 km atau kira kira 15 minit perjalanan dengan bot dari Jeti Kuah, Langkawi.

 

 

Tuesday, July 27, 2010

Aktiviti Di kelas Bahasa Melayu

Kelas kami meluangkan masa untuk menyanyi dan menghafalkan lagu tema Bulan Bahasa. Lagu di cipta pada tahun 1988 oleh Abdullah Lamat dan senikata oleh Dr Muhammad Ariff, dinyanyikan oleh Taufik Batisah. 

Bahasa Menjunjung Budaya

Mari bangsaku mari saudara
Kita gunakan bahasa bonda
Sebagai lidah penggugah rasa
Cinta bahasa cinta budaya
Demi cinta kepada budaya
Kita penatar bahasa bonda
Bahasa maju budaya jaya
Maruah bangsa terpelihara

Cintailah bahasa ibunda
Cintailah budaya pusaka
Bahasa yang menjunjung budaya
Budaya nilai maruah bangsa

Friday, July 2, 2010

Lawatan ke Mangrove Swamp di Pantai Pasir Ris

Pada Jumaat lepas, saya berkesempatan bersama kawan-kawan sedarjah ke Mangrove Swamp di pantai Pasir Ris untuk mempelajari lebih mendalam mengenai haiwan-haiwan yang kian pupus hidup di kawasan itu. Encik Clement adalah juruacara kami.

Aktiviti bermula dengan membersihkan persekitaran pantai. Air laut sedang surut dan rumpai laut bercampur sampah sarap terdampai di persisiran pantai itu. Kami mengumpul sampah yang telah dikutip ke plastik sampah. Diantaranya termasuk penyedut minuman, sudu garfu dan bungkusan makanan yang diperbuat dari bahan plastik. Kami terkejut apabila terjumpa tilam besar yang terdampar ditepi pantai itu. Tidak sangka benda-denda yang dibuang ke laut akan mencemarkan pantai kita dan merbahayakan kehidupan di situ.

Sampah plastik sangat merbahaya kerana ia tidak boleh busuk dan terhapus oleh masa. Sampah-sampah plastik kelihatan seperti ikan atau ubur-ubur dilautan dan kura-kura atau burung akan memakannya. Plastik yang ditelan oleh haiwan-haiwan ini tidak dihadam dalam perut. Haiwan-haiwan ini tidak dapat buang air besar atau makan kerana perutnya penuh dengan plastik. Akhirnya, mereka mati kebuluran. Saya rasa sedih mengenang betapa sengsara nasib haiwan-haiwan yang tidak berdosa ini.

Kemudian, kami menggunakan alat khas untuk mengambil suhu udara dan cahaya di sekeliling pantai. Aktiviti ini harus dibuat di tepi pantai. Bila kami berjalan menuju ke pantai, kaki kami terus termasuk ke dalam lumpur. Pada mulanya terasa geli geman bila melihat betapa hitam dan berbau lumpur di situ. Kami mula terasa cemas apabila semakin tersendat dalam lumpur lalu terus meminta tolong. Kami mula menolong satu sama lain dan ada yang ketawa terbahak-bahak. Ada juga yang kehilangan kasut. Setelah bertarung dan bergelumang dengan lumpur, terasa seronok pula. Saya hampir hilang kasut semasa berjalan dalam lumpur itu!

Encik Clement mula mengumpul haiwan-haiwan laut yang ada di situ. Kami mengenal pasti ketam, siput, tapak sulaiman, ikan temakul, telur siput dan lain-lain. Kami juga dapat menangkap, dengan kebenaran Encik Clement, ketam Fiddler. Ketam Fiddler jantan ada satu penyepit yang lebih besar untuk menarik perhatian ketam Fiddler betina. Tetapi, mereka harus berhati-hati tidak menarik perhatian burung pucung (heron) yang gemar memakannya. Ketam Fiddler bergerak ke kiri dan ke kanan sahaja.

Setelah puas memerhatikan gelagat ketam Fiddler, kami pulang ke darat untuk mencuci lumpur yang melekat di kaki. Guru kami gembira kerana semua berjalan dengan lancar dan mengikut jadual. Kami berehat dan mengulangkaji apa yang telah dipelajari. Kami sempat makan dan bertolak kembali ke sekolah.

Walaupun kami berasa amat penat, namum sepanjang perjalanan, kami tidak berhenti bercerita tentang pengalaman ini dan menyanyi lagu bersama-sama.