Thursday, September 2, 2010

Larian Obor YOG @ Sekolah Rendah Fuhua

Pagi itu cuaca cerah dan angin bertiup segar bersepoi-sepoi seperti mengalu-alukan acara larian obor Sukan Olimpik Belia (YOG). 13 haribulan Ogos 2010 menjadi tarikh yang bersejarah bagi penduduk-penduduk di Jurong kerana dapat menyaksikan obor Olimpik dan bas-bas YOG yang membawa para atlit-atlit YOG. Sejak pukul sebelas pagi, murid-murid Sekolah Rendah Fuhua telah menunggu sepanjang jalan Street 13, Jurong East, mengibarkan bendera-bendera Singapura dan memainkan alat bunyian loceng. Di depan sekolah, kumpulan 'Percussion' menghiburkan semua yang hadir dengan rentak yang menarik.

Suasana menjadi riuh rendah apabila kenderaan polis tiba, diikuti dengan bas-bas YOG. Kami rasa sungguh gembira bila atlit terhandal dari sekolah kami, Kang Yee Cher, dapat menyahut obor Olympik dan berlari anak bersama atlit-atlit national. Saya dapat merasakan perasannya pada saat itu - bahagia dan bangga.

Saya bangga Singapura menjadi tuan rumah YOG 2010. Di Singapura, belia menikmati pendidikan yang luas. Mereka dapat pelajaran yang sempurna dan boleh juga mengejar cita-cita dalam bidang sukan atau seni, mengikut kebolehan mereka. Belia-belia harus diberi perhatian dan bimbingan kerana kejayaan mereka adalah untuk masa depan negara.


Tuesday, August 10, 2010

Selamat Menyambut Bulan Ramadan

Saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan kepada semua rakan-rakan dan guru-guru di Sekolah Rendah Fuhua.

Saturday, August 7, 2010

Majlis Penyampaian Hadiah

Selepas mengambil bahagian dalam pertandingan blogging bahasa Melayu ini, saya dapat mempelajari lebih banyak kosa kata untuk meluahkan perasaan dan pengalaman saya dalam bahasa ibunda saya. Saya hampir putus asa kerana seolah merangkak bila menulis dalam bahasa Melayu. Saya tak henti-henti merujuk kamus dewan bahasa Melayu dan juga kamus bergambar dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk mencari perkataan yang sesuai digunakan dalam blog saya. Alang-alang mandi biar basah. Saya amat bangga dengan pencapaian saya.

Di majlis penyampaian hadiah, saya dapati yang saya boleh menghasilkan blog yang lebih menarik dengan meletakkan video, muzik dan gambar-gambar yang sesuai. Saya juga mesti melebihkan pengunaan peribahasa dan bidalan dalam penulisan saya supaya ia lebih kemelayuan.

Pertandingan ini ada enam kategori dan pesertanya melebihi empat ratus orang. Saya tidak sangka percubaan pertama saya ini membolehkan saya menang hadiah sagu hati dalam kategori sekolah rendah. Walaupun saya lebih gemar bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris, saya ingin terus berusaha agar lebih arif dalam bahasa Melayu. Belakang parang jika diasah nescaya tajam juga akhirnya.

Friday, July 30, 2010

SARAWAK-Melancong Sambil Belajar

Bahagian 2

Sampai sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kami menaiki bus pelancong dan melawat bandar Kucing. Kami tertarik dengan suasana nostalgia di bandarnya dan dapat melihat Tugu Kucing, masjid lama Kuching dan pasar jalanan. Kami juga melawat Muzium Kuching yang kaya dengan khazanah borneo yang terunggul di Asia Tenggara. Selepas makan tengahari, kami melawat kilang tembikar dan melihat bagaimana tembikar Sarawak dibuat. Saya beli dua tembikar kecil untuk ibu saya. Kami bermalam di Merdeka Palace Hotel.

Keesokan hari, selepas sarapan pagi, kami melawat Sekolah Tunku Putra. Kami disambut dengan mesra oleh murid-murid dan guru-guru di sana. Sekolahnya merangkumi prasekolah, rendah dan menengah. Murid-muridnya belajar dalam bahasa Melayu dan Inggeris, bahasa ke tiga adalah Mandarin atau French. Kami bergaul dan bertukar hadiah sebelum beredar. Kemudian, kami singgah ke Kebun Lada Hitam. Untuk mendapatkan lada hitam, biji lada terus dijemur bawah matahari, dan lada sula pula direndam dahulu dalam air kemudian baru dijemur. Sarawak salah satu penghasil lada hitam dan sula terbesar di Asia. Kami bermalam di Kampung Budaya Sarawak yang mempamirkan tujuh macam rumah replika dari budaya kaum-kaum asli Sarawak. Sambil menikmati makanan mereka, kami menonton nyanyian dan tarian orang asli.

Kami bangun sebelum Subuh untuk melawat Taman Negara Bako. Kami meneroka hutan belantara. Sekali-kala kami nampak monyet, air terjun dan pohon-pohon pelik. Kami juga menyeberang jambatan tali. Sungguh sukar berjalan atasnya kerana terhayun-hayun. Akhirnya, kami sampai di pantai dan pemandangannya sungguh luas dan nyaman. Kami akhir perjalanan kami dengan menaiki ‘speedboat’ hingga ke senja.

Pada hari terakhir, kami melawat Pusat Pemulihan Semmengoh untuk Orang Utan. Kemudian, kami singgah ke Rumah Panjang Bidayuh yang terletak di daerah perkampungan. Penduduknya sungguh mesra. Kami terus ke Kampung Nelayan Melayu. Kami melihat kehidupan orang Melayu, main permainan tradisional dan makan kueh mueh Melayu. Seronoknya! Kenangan manis di Sarawak adalah kemesraan orang-orangnya.

SARAWAK-Melancong Sambil Belajar

Bahagian 1

Saya masih teringat lawatan ke Sarawak bersama sekumpulan rakan-rakan dan guru-guru Sekolah Rendah Fuhua. Kami telah dipilih untuk melancong ke Sarawak dan mempelajari kehidupan dan budaya orang-orang Sarawak yang berbilang kaum. Lawatan empat hari itu sungguh penuh dengan aktiviti hingga kami tidak sempat merindui keluarga kami.

Kami berkumpul di Lapangan Terbang Changi selepas Subuh. Saya rasa gementar bercampur kegirangan kerana ini adalah pertama kali melancong tanpa keluarga saya. Gilarrr!


Persediaan untuk lisan PSLE

Semalam adalah ujian lisan Prelim sebelum saya menduduki peperiksaan PSLE. Hari ini guru-guru kami mengulang-kaji teknik-teknik lisan untuk mendapat markah penuh. Kami diberi sekeping gambar untuk perbincangan. Saya sangat gementar untuk ujian PSLE. Namun guru saya memberi banyak latihan dan dorongan untuk lebih bersedia menghadapi peperiksaan yang sangat penting untuk diriku.

Semoga saya dan rakan-rakan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti...

Pantun Bahasa Ibundaku

Satu dua nyanyi bersama
Tiga empat selama-lamanya
Lima enam bahasa melayu
Tujuh lapan tak akan layu
Sembilan sepuluh BAHASA IBUNDAKU!